BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, October 9, 2009

SENI ZAMAN ROMANTISME MEMBAWA PERASAAN SAYANGKAN DIRI

Kembali kita dalam perbincangan Bahagian II, berhubung pengaruh gaya dalam seni tampak dengan memberi fokus pada zaman Romantisme. Gaya yang begitu kuat pengaruhnya dalam seni lukis ketika zaman Romantisme telah menjadikan perasaan sayang diri itu kadangkala tarafnya ditingkatkan menjadi wira. Status wira itu dimiliki dengan perjuangan mengangkat martabat seni dan seniman yang meneruskan reformasi gaya dalam seni lukis dianggap wira mengatasi zaman. Tarafnya meningkat menjadi wira yang menentang kebiasaan konvensi sehingga tercipta satu stail seni yang baru.

Romantisme jauh terkeluar daripada masa dan ruang. Di England, Perancis, Jerman dan Amerima, benih Romantisme telah ditanam pada abad ke-18. Tekanan yang kuat dalam perasaan perseorangan terbukti dalam karya-karya seperti novel, catan dan muzik. Aliran Romantisme pada abad ke-18 memperjuangkan persamaan hak, kebebasan berfikir dan kebebasan hidup manusia daripada kongkongan undang-undang yang melampau.

Romantisme mengatakan bahawa seni harus dapat menimbulkan emosi, merangsang minda dan penentangan terhadap nilai konvensi perlu diubah supaya tidak statik. Bentuk-bentuk seni yang umum telah dipinjam dari arca Greco-Roman perlu diubahsuai. Penentangan pada warna sebagai gerakan ekspresif adalah tentangan terhadap kuasa. Romantisme merasakan bahawa suatu kemestian untuk seniman berfikir dan bertindak melebihi sempadan idea logikal. Revolusi Perancis telah menunjukkan kuasa yang keterlaluan dan peluang yang penting ini digunakan dalam perjuangan seni bagi melawan pengaruh kekuasaan yang melampau.

Estetika Romantisme ialah pemberontakan terhadap kongkongan peraturan dan undang-undang yang melampau dan tidak relevan dengan keadaan semasa. Seniman mulai berkarya dengan gambaran realiti mengikut kehendak hati yang timbul dari perasaan sayangkan diri. Mereka berpendapat seni mesti bebas tanpa kongkongan. Mereka merintis jalan baru ke arah estetika baru, rasa baru dan idea baru. Mereka membuat interpretasi yang baru dan sindiran diluahkan dalam karya terhadap kejadian semasa. Demi sayangkan diri dan sayangkan orang lain, suatu perubahan dalam gaya patut diperjuangkan.

Seniman Romantisme memandang seseorang individu itu sebagai insan yang bertanggungjawab untuk menentukan nasib untungnya sendiri. Perasaan sayang diri itu dijadikan pedoman untuk meluahkan rasa hati yang terpendam. Tidak ada lagi ikatan dengan teknik-teknik tertentu atau memenuhi kehendak pemimpin tertentu atau patron yang mengawal nilai dan mutu seni.
Seni adalah curahan hati, cantuman akal dan budi yang perlu berdiri sendiri.
Menghebahkan idea secara terbuka kepada umum supaya masyarakat dapat berkongsi
dan gagasan ini telah mengangkat seorang seniman itu sebagai wira.

Karya Delacroix “Liberty Leading the People” pada tahun 1830 adalah contoh suasana yang menuntut kebebasan. Figura seorang wanita yang memegang bendera dan memimpin orang lain dalam satu pemberontakan. Watak-watak yang dilukis merangkumi semua lapisan masyarakat. Figura wanita, budak, golongan pekerja termasuk puak borjuis. Imej yang tersirat dalam karya Delacroix ingin melepaskan ketidakpuasan terhadap sesuatu. Mungkin kongkongan tradisi atau suatu luahan perasaan yang takut kepada suasana revolusi.

Figura wanita dilihat sebagat watak memimpin diletakkan pada titik fokus, melambangkan diri yang inginkan kebebasan. Watak wanita bertentangan dengan sifat kelakian. Niat tersirat Delacroix untuk menunjukkan bahawa yang lemah itu sebenarnya adalah kuat. Watak budak yang memegang pistol sebagai lambang seorang rakyat biasa yang lemah dan tidak matang, dipergunakan oleh pihak berkuasa. Golongan borjuis turut serta dalam pemberontakan untuk menyokong golongan bawahan sebagai gambaran iaitu bukan semua puak borjuis itu penindas dan jahat.

Delacroix menggunakan warna-warna terang dan kesan berus yang jelas untuk menimbulkan mood sebagai ekspresif emosi bagi membebaskan diri dari kongkongan peraturan, akta dan undang-undang zalim.

Dalam karya beliau seterusnya, “The Death of Sardanapalus” hasilan tahun 1827 menunjukan watak gundik-gundik yang dibunuh setelah nafsu dipenuhi bagi tujuan mengheret emosi geram, marah pemerhati untuk turut merasai simpati. Kemungkinan ini menunjukkan perasaan yang terpendam di hati Delacroix sendiri. Secara bebasnya Delacroix meluahkan segala emosi melalui karya-karyanya yang menjadi satu stail baru dan idea baru baginya untuk keluar dari karya-karya yang terikat dengan konvensi.

Sesungguhnya reformasi gaya dalam seni tampak membuka minda masyarakat. Reformasi itu dalam bahasa seni tampak tidak seharusnya ada kongkongan yang menjadikan artis dan khalayak beku mindanya dan menjadi pak turut sepanjang zaman. Aturan dan asas-asas seni itu disemai pada peringkat akademik dan menjadi panduan sahaja tetapi tidak seharusnya menjadi hukum dan sesudah itu asas-asas ini disuburkan melalui daya kreativiti artis. Ketika ini akan lahir gaya masing-masing dan menjadi corak baru. Segalanya bermula dari sayangkan diri, sama ada artis itu menyuburkan asas-asas seni mengikut acuannya sendiri dengan berjiwa bebas atau terkongkong minda dan perlakuannya akibat hilang rasa sayang diri.

0 ulasan: